Tuesday, March 23, 2010

Surat Cinta Buatmu


Assalamualaikum...
Dah beberapa hari tak mencoret di blog ini...
Kali ini saya nak berkongsi kemesraan yang terjalin antara saya dan seorang sahabat merangkap roomate saya...Bukan apa. Terharu dengan sifatnya yang romantik. Satu malam, dia nak tidur awal dan meminta saya mengejutkannya pada pukul 12.30 malam.Ok la. Saya tak kisah. Tapi, sebelum dia melelapkan mata, sahabat saya ni, jiah (bukan nama sebenar) menanyakan satu soalan....

Jiah: Liza sayang saya tak?
Liza: Saya sayang semua kawan saya...
Jiah: Tak nak la jawab macam tu. Jawab untuk saya je.
Liza: Ye, ye...saya sayang jiah...
Jiah:Liza...
Liza: Ye..
Jiah: Nak surat cinta
Liza: Lor..surat cinta ape plak?
Jiah: Nak surat cinta dari liza la
Liza:Ye la..ye la..nanti saya tulis.
Jiah: Tulis tau.Nanti saya bangun saya nak tengok ye.
Liza: Ye

Begitu la lebih kurang perbualan kami. Tapi jangan salah faham. Walaupun kami nampak mesra tapi kami bukan mesra yang 'pelik'. Bagi saya, dengan kawanlah kita nak bermanja ke, bermesra ke saat berada jauh dari ibubapa..Bagi saya tak ada salahnya untuk bermanja-manja, bersayang-sayang dengan kawan. tambahan pula kawan sejantina adalah muhrim kita. Tak ada salahnya mengungkapkan perasaan sayang pada sahabat kite. Malahan digalakkan lagi untuk mengeratkan lagi silaturrahim. Yang paling utama, niat kita bersahabat kerana Allah...
Jadi, malam itu saya pun mengaranglah satu surat cinta untuk sahabat saya ni....macam biase, a poem talks my heart....

Surat cinta buatmu....

Surat ini kukarang
Buatmu....
Mungkin kau akan
Menyaksikan kelemahan
Coretan yang tak seberapa
Tapi
Gunalah basirohmu
Menghayati bait-bait cintaku
Mencungkil yang aka’id

Teman..
Namanya kelihatan biasa
Mungkin tak pernah kau sedar
Betapa besarnya perananmu
Sebagai teman
Tapi aku
Takkan pernah lupa
Kerna kau temanku
Teman
betapa aku nikmati
Ukhwah ini
Berpaksikan Ilahi
Yang sentiasa memegang hati-hati
Membuat kita
Tak pernah kecewa
Biar dugaan bak ombak
Tak jemu menghempas pantai
Tapi kau ada aku
Aku ada kau
Yang Dia gandingkan
Untuk kita sama-sama
Menghayati desiran ombak
Bermain dengan gelombang ombak nan tinggi
tapi kita takkan pernah melepaskan
genggaman ini
takkan pernah kalah
dek ombak mengganas
takkan mungkin berpaling
lari dari dibasahi ombak
kerana kita tahu
dengannyalah
kita jadi dewasa
makin kenal dunia fana
makin yakin akhirat yang hakiki
dan
kerna kita tahu
Dia ada menjaga kita...



Lieza
23/3/10;12.54am

Monday, March 22, 2010

aku masih lupa

pada cermin ku bertanya
mengapa kau sering terlupa?
mengapa kau lupa lagi?
tak pernahkah kau serik
dikejar bebayang yang direjam
yang sering membuat
hati kau merana
memamah hatimu
umpama bangkai hidup
meratah dagingmu
membuat kau kusut
menghirup darahmu
hingga kau hilang arah
mengapa kau lupa?
lupa hatimu yang makin kelam
dengan dirimu yang tak pernah sedar
mana mungkin
ia ingin bersinar gemerlap
kalau kau lupa menggilap?
tapi kau lupa
kau masih alpa...
bila? bila? bila lagi?
bila lagi kau mahu membuka paradigma?
jangan nanti
bila hatimu habis dimamah
bila dagingmu habis diratah
bila darahmu habis dihirup
kau hanya akan jadi hambanya
yang jauh dari Penciptamu...


Friday, March 19, 2010

SIAPA AKU?


Assalamualaikum.....
Hari rabu yang lepas (17/3/10) memang memenatkan memandangkan malam sebelumnya tak cukup tidur sebab siapkan assignment dan persediaan untuk pembentangan. Memang penat. Rasa macam lepas kelas nk tidur je. Tapi dah janji dengan huda nak teman dia pergi GM Plaza. So, lepas kelas kami terus ke GM. tak lama pun pergi sebab memang beli apa yang perlu je.
Malamnya, ada dua ceramah yang best. Ust Pahrol Joi di Alam Bina dan Ust Hasrizal di 7th. Mula-mula saya memang nak pergi Ust Pahrol punyer talk. Tetapi atas sebab-sebab tertentu, kami (saya, jiah, huda dan Saf) pergi yang Ust Hasrizal punyer talk. (Takde kenderaan.so pergi yang dekat). Tapi tak kisah pun sebab dua-dua pun kiteorang suke. asalkan dapat pergi. Tak kisahlah yang mana-mana pun. lagipun dua-dua majlis ilmu.
Alhamdulillah...Walaupun mata macam nak tertutup je..memang berat sangat tap Allah memberikan kekuatan kepada kami untuk terus berada di majlis ilmu tu hinggan ke akhir majlis. Syukur sangat...tajuknya 'Siapa Aku' telah dihuraikan Ust Hasrizal dengan panjang lebar dan mudah difahami. Tajuk ni memang dekat dengan diri sendiri dan saya rasa terkesan. InsyaAllah nak cuba jadi yang terbaik disamping tak lupa asal usul kejadian...
Jadi di sini saya nak kongsi apa yang saya dapat sepanjang majlis ilmu yang berlangsung hampir 2jam.

SIAPA AKU?

Sebenarnya tanpa kita sedari setiap ucapan yang dikeluarkan kita adalah mencerminkan siapa kita. Kalu kita selalu mengatakan yang baik-baik, itu menunjukkan dalaman kita memikirkan perkara-perkara baik juga. tetapi jika yang terzahir adalah sesuatu yang buruk menunjukkan apa yang ada dalam diri kita juga adalah sesuatu yang buruk. Jadi, nak menjawab persoalan 'siapa aku?' bergantung pada cara kita melihat diri kita sendiri. kalu baik, baiklah. kalu buruk, buruklah.
Yang paling utama yang perlu diingati ialah dengan berfikir dan mencari asal usul diri. Bagaimana nak mencari asal usul diri?
Kenal Tuhan.
Sesungguhnya sesiapa yang kenal Tuhannya maka dia akan kenal dirinya.
Jika kita mengenal Tuhan, kita akan menginsafi diri kita diciptakan sebagai sebaik-baik makhluk iaitu sebagai khalifah di muka bumi ini yang mempunyai keistimewaan dan kelebihan berbanding makhluk lain. Dan dengan mengenal Tuhan juga kita akan menginsafi diri kita ini adalah hambaNya yang lemah yang mempunyai banyak kekurangan.
Ini menjelaskan setiap manusia diciptakan dengan kelebihan dan kekurangan.
Jadi, kita kena lah sentiasa yakin dengan diri sendiri dan tidak pula melupakan 'limitation' kita sebagai hambaNya. apabila melakukan sesuatu kerja, perlulah buat sebaik mungkin untuk kita mencapai tahap maksimum keupayaan kita. Jika kita tak 'push' diri kita untuk melakukan yang terbaik, mana mungkin kita mengetahui kekuatan dan kelebihan kita. Dan perlu diingat juga bahawa sesungguhnya Allah memberi kekurangan kepada kita supaya kita mencariNya. bergantung hanya padaNYa...
Jadi, kesimpulan dari ceramah malam ini sebagaimana dinyatakan Ust Hasrizal ialah:
1. Cari kelebihan diri dan dalm mengenali kelebihan diri, ingat tugas sebagai khalifah.
2. Cari kekurangan diri dengan kenal Allag S.W.T melalu ayat-ayat al-Quran dan ayat-ayat Allah yang boleh diobserve (zikir dengan al-Quran, fikir tentang alam)
3. Makna hidup bukan pada soal menerima tapi pada soal memberi
4. Diri kita hanyalah layak untuk diuji sebagai seorang hamba
5. Semua milik kita hakikatnya milik Allah. Semua milik Allah layak diambilNya bila-bila masa, dimana saja.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat....Wallahua'lam..



Tuesday, March 16, 2010

kelam


kelam malam
bulan mengambang
namun
ditutupi rimbunan dedaunan kering angsana
kelam malam....

hati?
hati ini semacam kelam
kelam...
ditutupi
rerintik hitam dosa
menutupi
sinarNya

kelam...
masih kelam
tak mahu enjak
sehingga ku rasa
betapa perlunya
yang baru
mengganti yang kelam
agar mudah jelas
ditembusi cahayaNya...







Sunday, March 14, 2010

Lebih baik buat dari tak buat....



Assalamualaikum...

Memandangkan saya adalah seorang insan yang masih perlu banyak belajar, pelbagai perkara menyesakkan pemikiran saya. perasaan bercampur baur. Takut, cemas, ragu-ragu, putus asa, rasa nak mengalah....Maklumlah saya sekadar insan yang hina dan terlalu mudah tunduk dengan pujuk rayu syaitan laknatullah dan pujukan nafsu saya sendiri. Kadang-kadang (biasanya selalu jugak) saya sering menyoal diri kenapa saya tak berubah lagi? kenapa hati saya masih resah walaupun saya zikir..Astaghfirullah...terlalu jahil dan lemah diri ini sehingga ujian sebegini boleh menggoyahkan iman yang sebesar kuman ini....
Tetapi Allah s.w.t dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya telah menunjukkan saya jalan melalui buku-buku and coretan ilmiah. Dan memang betul-betul kena atas hidung saya. Pembacaan saya melalui satu artikel berharga ini yang ditulis oleh Roslan Kassim (ANIS bil137 Januari2009) menyebabkan saya tersedar betapa cepat saya mengalah dalam perjuangan membetulkan diri sendiri.
Zikir.
Dengan berzikir kita mengingati Allah. Dengan mengingati Allah, Dia pun akan ingat kita. Tapi masalah saya, bila saya berzikir, hati saya masih ingat benda lain lagi. Masih memikirkan masalah diri yang sebesar kuman jika dibandingkan dengan masalah yang melanda umat Islam sekarang. Tetapi saya bersyukur sangat. Saya terjumpa artikel yang menaikkan semula darjah keyakinan saya. menurut artikel ini, sebagai manusia biasa terutama insan yang baru mengamalkan zikir, sudah tentulah hati masih lagi tidak dapat ditumpukan sepenuhnya kepada zikir itu. Sedangkan orang yang mengamalkan zikir selama beberapa tahun masih lagi tidak merasa ketenangan, inikan pula bagi mereka yang baru memulakannya. Tetapi ini bukanlah penghalang untuk kita tidak berzikir. Sekurang-kurangkan lidah dan mulut kita masih terkumat-kamit menyebut nama Pencipta kita Yang Maha Esa. Sekurang-kurangnya lidah dan mulut kita terselamat dari mengatakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Sekurang-kurangnya, lidah dan mulut kita menjadi saksi di akhirat kelak bahawa mereka pernah menyebut dang mengagungkan Ya Rabbi. Hal ini sama juga lah denga solat. Berapa ramai yang solat tapi hatinya tak tenang, masih buka aurat, masih mengumpat? Ramai kan. Tetapi sekurang-kurangnya solat itu adalah bukti mereka percaya kepada Ilahi. Mungkin lambat laun solat itu membuatkan dia tersedar akan kesalahan yang dilakukan.
Tapi ini bukanlah bermakna kita perlu untuk berada pada tahap ini selamanya. Sampai bila saya mahu sekadar berzikir tapi fikiran saya kemana-mana entahnya? Sampai bila saya mahu solat tapi sekadar bangun, tunduk, sujud tanpa penyerahan sepenuhnya kepadaNya...Sampai bila saya mahu berada di takok lama sedangkan Allah mengambil kira usaha seseorang berbanding hasilnnya? Inilah pentingnya usaha kita. Allah tidak akan menghukum kita untuk sesuatu yang kita tak tahu. Tetapi Dia murka kepada hambanya yang tidak mahu berubah sedangkan Dia takkan merubah sesuatu kaum melainkan mereka sendiri merubahnya. "Dan kepada orang-orang yang bersungguh-sungguh mujahadah untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami benar-benar akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami itu"(Al-Ankabut:69)
Jadi, kesimpulannya disini, janganlah kita menghilangkan keyakinan kerana tidak dapat mengecapi nikmat ibadah samada melalui zikir atau selainnya dengan tak buat langsung dan janganlah kita memberi alasan yang kita masih baru belajar dengan tidak mahu berusaha membaiki diri.
Alhamdulillah...akhirnya saya dapat suatu yang amat berharga yang saya cari selama ini. Semoga Dia meneguhkan hati saya untuk terus berpegang pada pendirian "Allah tidak memandang sesuatu hasil, tetapi Dia memandang dan mempersoalkan usaha yang kita lakukan."
Disinilah lahirnya formula usaha+doa=tawakal. Sesungguhnya hasil sesuatu usaha adalah di tanganNya...kita sebagai hambaNya perlu selalu mengharapkan keredhaanNya dan yakin dengan ketentuanNya...




Saturday, March 13, 2010

Ukhwah di Tasik Universiti :)


Assalamualaikum...

Alhamdulillah...
pagi ni, berjaya juga mencelikkan dan memaksa mata ni terus bertahan selepas Subuh tadi sebab dah janji ngan mag7 nak jogging di Tasik U. Kalau ikutkan hati, memang malas. Dah la jauh, nagantuk plak...tambah plak giliran saya menjadi pemberi tazkirah (cam naqibah la, tapi x layak lagi sebenarnya). tapi tu kalau ikutkan hati....yang tak patut diikutkan sangat sebab pepatah ada mengatakan, "ikut hati, mati, ikut rasa, binasa". Jadi, saya tak ikut hati la. tapi sy ikut kata iman dan atas ukhwah yang amat disayangi...mag7 adalah nikmat sahabat dari Allah yang amat berharga untuk saya...Allah pertemukan saya dengan mereka sebagai salah satu platform untuk saya menjadi saya seperti hari ini (bagi yang kenal saya la...).....Jadi, dipendekkan cerita, jadilah jogging dan usrah hari ni...Alhamdulillah...

Sekadar nak berkongsi dengan kawan-kawan dan sebab saya tak tau nak bagi tazkirah tajuk apa, akhirnya saya pilih tajuk 'Keimana bentuk sahabat sejati'...Maklumat yang saya sampaikan tadi sepenuhnya saya ambil dari satu blog yang saya rasa amat bermanfaat...

Jadi, dalam banyak-banyak point yang ditulis di sini, saya tertarik dengan point bahawa kita sebagai sahabat perlu berani menegur sahabat kita untuk melindungi sahabat kita dari kemurkaan Allah..maksudnya kita tegur sebab Allah...sepatutnya macam tu lah. apa-apa yang kita buat perlu diniatkan kerana Allah supaya diberkati. macam bersahabat jugakla, niat kerana Allah, baru kita rasa nikmat bersahabat....baru rasa sayang dekat sahabat...
Selain itu, dah menjadi lumrah bahawa manusia ni diciptakan sengan sifat yang sering terlupa. kerana itulah saya memandang penting bagi sahabat menegur sahabatnya yang melakukan kesalahan walaupun selalunya amat susah dan berat kita nak melakukannya. ditambah pulak kalau sahabat tu memang jenis susah nak terima teguran walaupun dengan cara baik. disinilah ALLAH nak menguji sifat sabar kita...sejauh mana kita bersabar dengan kerenah sahabat kita dan sejauh mana kita bersabar dalam menegakkan yang benar.
"...sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan yangnasihat-menasihati dengan kebenaran dan kesabaran." (Al-Asr;1-3)
Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa untuk menjadi orang yang beriman dan beramal soleh, kita perlu juga menasihati dengan kebenaran dan kesabaran. Dan inilah orang yag dijauhkan dari kerugian. Tidak dinafikan ada yang susah nak terima teguran. Tapi, hikmah bersabar itu lebih besar. Kita tak tau, dengan teguran kita sebenarnya telah membuatkan sahabat kita berfikir dan boleh jadi dia akan menerima kebenaran kata-kata kita, kalau tak pada saat itu, mungkin di masa akan datang...dan mungkin juga bila kita dah tiada, baru dia sedar kebenaran kata-kata kita. Sekurang-kurangnya usaha kita berhasil walaupun memakan masa yang lama dan inilah hikmahnya bersabar...
Rasanya setakat ini dulu coretan kali ini...semoga apa yang saya sampaikan hari ini di tasik tadi melekat di jiwa saya dan saya dapat mengamalkannya...sama-samalah muhasabah diri dan memperbaiki diri...sesungguhnya Keampunan Allah mengatasi kemurkaanNya...


Friday, March 12, 2010

dAri HatI uNtuK hAti...

Assalamualaikum...
alhamdulillah..akhirnya dapat juga inspirasi untuk menghasilkan blog ini sebagai platform memuhasabah diri dan berkongsi apa yang ada....Post-post di dalam blog ini yang bakal di publish sudah tentu mempunyai banyak kekurangan memandangkan diri ini yang masih dalam proses memperbaiki kekurangan dan mencari jalan terang...dan blog ini juga lebih bersifat diari dan cerita-ceritanya serta watak-wataknya adalah berkaitan kehidupan saya....
Pada sesiapa yang membaca, terima kasih diucapkan dan semoga memberi manfaat dan apa yang salah minta diberitahu agar dapat sama-sama memperoleh kebaikan darinya...
Satu lagi, mungkin dalam blog ini juda ada banyak sajak sebab saya suka tulis sajak...Jadi kalau sajaknye tak best, gelak dalam hati je la ye.hehehe...

kenapa DARI HATI UNTUK HATI?
-sengaja memilih ini sebagai nama blog kerana ini blog kehidupan saya...apa yang nak dicoretkan adalah dari hati dan untuk hati saya sendiri sebagai memuhasabah diri sendiri...

kenapa http://sibur-sibur.blogspot.com?
-'sibur-sibur' adalah favourite saya sebab die comel:)...dan ia lambang diri saya yang kerdil dan sedang terbang mencari jalan pulang yang terang, yang hakiki....

Thursday, March 11, 2010

dari hati untuk hati

ku biar kalam berdansa ligat
berpentaskan lembaran nipis berwarna putih
memuntahkan nanah hati
mencerna silam luka
bukan membangkit dendam
tidak juga menyemai benci
sekadar coretan luka
ingin bikin hati lepas
dari hati kumuntahkan ia
untuk hati tenang yang didamba...